KUALA LUMPUR, 20 April — Sebanyak 10,619 kes sembuh COVID-19 dicatatkan semalam menjadikan kumulatif kes pulih daripada jangkitan itu kini 4,274,746, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kes baharu pula berkurangan kepada 6,069 kes berbanding hari sebelumnya iaitu 7,140 menjadikan kumulatif kes COVID-19 dalam negara setakat ini sebanyak 4,402,234. 

“Daripada 6,069 kes baharu dilaporkan semalam sebanyak 5,959 adalah kes tempatan melibatkan 96.4 peratus warganegara dan 3.6 peratus bukan warganegara, manakala 110 adalah kes import terdiri daripada 66.4 peratus warganegara dan 33.6 peratus bukan warganegara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 241 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital merangkumi 97 kes (40.2 peratus) kategori tiga, empat dan lima manakala 144 kes (59.8 peratus) adalah kategori satu dan dua.

Beliau berkata tiada negeri mencatat penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) turun kepada 64 dengan peratusan penggunaan ventilator adalah lapan peratus.

Dr Noor Hisham berkata lima kluster baharu dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 109, manakala kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan seluruh negara adalah 0.86 dengan Negeri Sembilan mencatat nilai tertinggi iaitu 0.90.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here