BEIJING, 19 April — Taman Botani Negara China yang dibina  dengan kerjasama Institusi Botani Akademi Sains China dan Taman Botani Beijing, dibuka dengan rasminya di sini, pada Isnin.

Berkeluasan 600 hektar, taman itu dijangka akan menjalinkan kerjasama dengan taman botani dan institut yang berkaitan dari lebih 100 buah negara, sekali gus membentuk jalinan kesepakatan, perkongsian dan interaksi komprehensif di peringkat antarabangsa.

Naib Ketua Biro Pemeliharaan Haiwan dan Tumbuhan Liar Jabatan Pentadbiran Hutan dan Padang Rumput Kebangsaan, Zhou Zhihua, berkata China akan terus memperkasa sistem taman botani negara.

“Usaha itu untuk mencapai matlamat perlindungan terhadap 85 peratus tumbuhan liar tempatan dan kesemua spesies tumbuhan liar dalam senarai perlindungan utama di China,” katanya.

Terdahulu pada Oktober 2021, China mengemukakan rancangan pembinaan sistem taman botani negara di Beijing dan Guangzhou sempena Sidang Kemuncak Persidangan Ke-15 Penandatangan Konvensyen Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP15).

Justeru, penubuhan Taman Botani Negara adalah susulan kepada langkah pelaksanaan rancangan itu.

Untuk rekod, China merupakan antara negara dengan kepelbagaian tumbuhan paling banyak di sdunia dengan melebihi 37,000 spesies tumbuhan peringkat tinggi yang sudah dikenal pasti.

Menerusi penubuhan Taman Botani Negara ia akan dapat mengintensifkan lagi usaha perlindungan kepelbagaian biologi di China. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here