GEORGE TOWN, 21 April — Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyarankan agar kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di negeri itu mengambil peluang untuk memanfaatkan Program Geran Bantuan Projek Jaminan Akar Umbi (GGP) iaitu bantuan kewangan berskala kecil disediakan oleh kerajaan Jepun.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata skim bantuan tersebut telah ditawarkan di Malaysia sejak 1989 bagi menyokong projek-projek akar umbi dan dikendalikan oleh pertubuhan bukan berteraskan keuntungan termasuk NGO tempatan.

Malah, setakat ini sejumlah 158 projek telah dilaksanakan yang melibatkan bantuan dana melebihi RM19.7 juta.

“Jumlah maksimum geran itu adalah kira-kira RM330,000 bagi setiap projek yang bertujuan menyokong projek-projek galakan pembangunan sosioekonomi seperti keperluan asas manusia, penjagaan kesihatan utama, pendidikan rendah, bantuan kemiskinan, kebajikan awam serta alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 2020, bantuan GGP itu telah memberi manfaat kepada dua NGO Pulau Pinang iaitu St. Nicholas’ Home dengan geran berjumlah RM170,444 serta Eden Handicap Service Centre Bhd melibatkan geran berjumlah RM241,448.

Beliau berkata, tarikh akhir bagi permohonan GGP 2022 adalah pada 3 Mei, 2022.

NGO Pulau Pinang yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi seksyen ekonomi Konsulat Jeneral Jepun di nombor telefon 04-2263030 atau emel economy.cgjp@pe.mofa.go.jp

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here