IPOH, 25 April — Kenyataan Ketua Pembangkang Perak Abdul Aziz Bari yang mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendakwa ia mempunyai kekangan berhubung siasatan isu penjualan tanah lapangan terbang Seri Iskandar adalah tidak adil.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azmu berkata ini kerana beliau berpandangan badan penguatkuasa itu telah bertindak dengan baik dan sedang menjalankan siasatan secara terperinci.

“Berilah peluang kepada mereka menjalankan siasatan sedalamnya dan secara terperinci, sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Jadi saya harap beliau sendiri (Abdul Aziz) selaku bekas exco kerajaan negeri boleh memberi kerjasama seperti saya dan semua warga Malaysia, yang bertanggungjawab terhadap apa jua perkara dan apabila ada siasatan yang melibatkan pihak berkuasa, kita mesti memberi kerjasama yang sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berbuka puasa bersama warga Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Ditanya mengenai Abdul Aziz yang dilaporkan mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak untuk mengambil tindakan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan, Ahmad Faizal berkata selain SPRM, pihak PAC juga boleh mengambil tindakan sendiri dalam bidang kuasa masing-masing.

Terdahulu, Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini dilaporkan berkata kesediaan Ahmad Faizal untuk disiasat oleh SPRM, berhubung isu berkenaan disifatkan tidak membawa kepada jalan penyelesaian.

Abdul Aziz mendakwa SPRM sendiri mempunyai beberapa kekangan, termasuk tidak mempunyai kuasa pemutus dalam pendakwaan yang berada di tangan Peguam Negara.

Justeru, Abdul Aziz mendesak PAC Perak untuk mengambil tindakan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here