IPOH, 11 Mei — Polis merampas sebanyak 72 unit mesin bitcoin bernilai RM140,000 di sebuah rumah kedai yang disyaki menjalankan kegiatan mencuri bekalan elektrik di Jalan Intan 3, Bandar Baru Teluk Intan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada kira-kira 1.30 pagi, selepas menerima aduan orang awam yang tinggal di kawasan sekitar mengenai rumah mereka sering mengalami gangguan bekalan elektrik.

Beliau berkata pihaknya dengan bantuan juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya membuka pintu untuk memasuki rumah kedai itu dan mendapati terdapat beberapa mesin melombong bitcoin sedang berfungsi serta disusun di atas rak. 

“Juruteknik khas TNB telah menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas penyambungan wayar yang dilakukan secara haram dan mengesahkan bahawa terdapat kecurian arus elektrik lalu menjalankan kerja-kerja pemotongan elektrik di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya pihak polis merampas kesemua peralatan yang digunakan untuk melombong bitcoin secara haram dengan mencuri elektrik dan dibawa ke IPD Hilir Perak untuk tindakan lanjut. 

Beliau berkata tiada individu berada di tempat kejadian semasa serbuan dilakukan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here