PUTRAJAYA, 19 Mei — Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar bakal mengadakan lawatan kerja julung kali ke Uzbekistan dan Kazakhstan bermula esok sehingga 25 Mei ini.

 Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan itu sangat bermakna kerana 2022 adalah ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik Malaysia dengan dua negara itu.

 “Lawatan ini memberi tumpuan memperkukuh lagi kerjasama sedia ada yang memberi manfaat kepada Malaysia dan kedua-dua negara rantau Asia Tengah itu,” katanya.

 Beliau melawat Uzbekistan sehingga 21 Mei dengan dijadualkan membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Luar dan Pelaburan, Laziz Kudratov di Tashkent.

 Di ibu kota negara tersebut, beliau  berpeluang menemui Pemangku Menteri Luarnya, Vladimir Norov dan Speaker Dewan Rakyat Oliy Majlis Uzbekistan, Nuriddinjon Ismailov. Lawatan ke Kazakhstan dari 22 hingga 25 Mei ini pula menyaksikan Kamarudi bertemu rakan sejawatannya, Aidarov Almas di ibu kota Nur-Sultan yang sebelum itu dikenali Astana.

 Selain itu, beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Perdagangan dan Integrasi, Bakhyt Turlykhanuly Sultanov.

 “Lawatan ini bakal meneroka kerjasama strategik baharu sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, kerjasama teknikal serta kesihatan,” kata Wisma Putra.

 Malahan, lawatan tersebut akan memberi peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan secara bersama. Bagi tempoh dari Januari sehingga Oktober 2021 lalu, Kazakhstan adalah rakan dagang paling besar Malaysia di Asia Tengah dengan rekod nilai perdagangan berjumlah RM359.8 juta.

 Sementara negara jirannya, Uzbekistan pula ujar kenyataan Wisma Putra, adalah rakan dagang kedua terbesar di rantau tersebut dengan nilai perdagangan berjumlah RM187.8 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here