KUALA LUMPUR, 18 Mei — Laksamana Madya Datuk Roslan Mohd Yunus kini menggalas jawatan sebagai Komander National Task Force (NTF) menggantikan Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah yang akan memulakan cuti persaraannya esok.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Hal Ehwal Awam dalam kenyataannya memaklumkan Roslan sebelum ini merupakan Panglima Wilayah Laut 2 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia yang berpusat di Telok Sepanggar, Sabah sebelum dinaikkan pangkat Laksamana Madya semalam (17 Mei 2022).

“Pengalaman selama 42 tahun dalam perkhidmatan ATM dan keperibadian tinggi yang dimiliki oleh Aris Adi Tan, telah berjaya menyatukan 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan menjadi sebuah pasukan yang telah dapat merealisasikan hasrat negara dengan lancar dan berkesan hingga hari ini.

“Pelantikan Roslan mengambil alih tampuk selaku Komander NTF yang baharu adalah bagi memastikan kesinambungan Op Benteng berjalan seperti biasa dan tidak tergendala sehingga MKN telah bersedia untuk mengambil alih operasi ini daripada NTF seperti yang dirancangkan iaitu pada 30 Jun 2022 ini,” menurut kenyataan itu.

Majlis Serah Terima Tugas berkenaan yang diadakan di Wisma Pertahanan hari ini disaksikan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Turut hadir Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad.

Sejak ditubuhkan pada Mei 2020, NTF telah berjaya mencipta beberapa kejayaan antaranya meningkatkan kawalan di sempadan negara  yang menyaksikan tangkapan pendatang tanpa izin berjaya dikurangkan dan berjaya menjadi pemudah proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi yang diamanahkan. 

“NTF juga berjaya menyelaras perkongsian maklumat perisikan antara agensi yang terlibat melalui pasukan petugas risikan bersama dan mengkoordinasikan perolehan logistik semua agensi terlibat,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here