KOTA KINABALU, 25 Mei — Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) akan dijadikan sebagai acara tahunan bagi mendengar suara golongan muda khususnya mereka yang masih belajar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu, beliau berkata semua usul yang dibentangkan dalam MPPS perlu didokumentasikan secara rasmi dalam bentuk Nota Kabinet dan akan dibentangkan untuk makluman jemaah menteri, seterusnya diteliti oleh setiap kementerian dan agensi berkaitan.

“Selepas mendengar segala usul menerusi majlis yang pertama kali diadakan ini, saya mahu MPPS dijadikan sebagai acara tahunan. Saya mahu mendengar cadangan dan pandangan daripada anak-anak muda terutama mereka yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Saya juga mengambil perhatian serius setiap usul atau cadangan yang dibentangkan oleh anak-anak muda kita dan kita akan teliti secara terperinci untuk dimasukkan dalam perancangan kerajaan. Mana yang perlu dilaksanakan, akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena penganjuran MPPS malam tadi yang dihadiri lebih 80 pemimpin pelajar.

Sebanyak tujuh kluster dalam MPPS iaitu Kluster Belia dan Sukan; Sains, Teknologi dan Inovasi; Kepimpinan dan Modal Insan; Ekonomi Anak Muda dan Perniagaan; Pendidikan dan Kerjaya; Alam Sekitar dan Kelestarian Hijau; dan Pertanian dan Pelancongan.

Hajiji berkata penganjuran MPPS bertepatan dengan salah satu teras dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu agenda pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Kerajaan negeri amat komited untuk memperkasa modal insan di negeri ini melalui pelaksanaan dan perancangan pelbagai program dan inisiatif bagi mengangkat aspirasi anak muda Sabah.

“Kerajaan negeri turut menubuhkan Sekretariat Khas Pelajar Sabah, bertujuan memayungi semua persatuan pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan. Melalui sekretariat khas ini juga, isu-isu berkaitan pelajar Sabah akan dibincangkan dan dibawa ke pengetahuan pihak kerajaan untuk tindakan susulan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here