GEORGE TOWN, 1 Jun — Kerajaan Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat teknikal dengan pihak berkuasa berkenaan untuk mendapatkan kelulusan memasang jaring keselamatan bagi mengelak kejadian bunuh diri dan menghalang tindakan cubaan bunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh berkata sebarang kaedah pemasangan kepada jambatan sepanjang 13.5 kilometer itu memerlukan kelulusan jawatankuasa teknikal kerana ia melibatkan struktur awam.

“Setiausaha Kerajaan Negeri akan mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil daripada pihak berkuasa berkaitan petang ini bagi membincangkan rancangan mengadakan mesyuarat untuk memasang jaring keselamatan,” katanya kepada pemberita semasa mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Phee berkata kamera litar tertutup (CCTV) yang mampu merakam audio dan video yang jelas juga merupakan antara cadangan yang dikemukakan sebelum ini semasa perbincangan dengan agensi berkaitan seperti pengendali Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Bhd, polis dan pakar perubatan.

Beliau berkata pemasangan jaring keselamatan dan CCTV hanyalah sebahagian daripada langkah yang perlu diambil dengan paling penting ialah hubungan manusia dengan manusia khususnya berkaitan kesihatan mental dan menangani tekanan.

“”Strategi kami juga melihat kemungkinan menyediakan latihan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan juga Pasukan Tindakan Kecemasan Pulau Pinang mengenai pendekatan psikologi dan kesihatan mental dengan harapan mereka dapat membantu,” katanya.

Phee berkata Pulau Pinang mempunyai pelbagai program pencegahan dan perkhidmatan psikiatri mudah alih juga dipertimbangkan untuk mencegah kes bunuh diri.

“Kami telah mengenal pasti bahawa antara tiga sebab untuk semua kes bunuh diri ini ialah hubungan – terutama masalah hubungan keluarga, cabaran kewangan dan isu kesihatan,” katanya.

Sejumlah sembilan kes cubaan bunuh diri dan lima kematian dilaporkan di jambatan berkenaan bulan lepas dengan kes terbaru melibatkan seorang lelaki dipercayai terjatuh ke dalam laut di KM2.2 jambatan itu pada jam 5.39 pagi hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here