PUTRAJAYA, 7 Jun — Malaysia mencadangkan kepada Jepun agar Memorandum Kerjasama (MoC) Malaysia-Jepun dalam bidang penerangan dan komunikasi diperbaharui dengan memperluaskan skop kerjasama dengan memasukkan industri kreatif dan penggambaran filem.

Perkara itu disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko di kementeriannya di sini hari ini dalam perbincangan dua hala bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang komunikasi.

Annuar berkata beliau juga mencadangkan keselamatan siber, perlindungan data peribadi, pembangunan ekonomi digital dan kerjasama digital rentas sempadan turut menjadi keutamaan dalam kerjasama akan datang.

Malaysia dan Jepun memeterai MoC pada 17 Januari 2017 bagi kerjasama dua hala antaranya dalam sektor informasi dan komunikasi sejagat terutamanya dalam bidang penyiaran.

“Saya minta dalam kerjasama akan datang, aspek berkaitan keselamatan siber, perlindungan data peribadi, rentas sempadan dan ekonomi digital menjadi keutamaan kita.

“Selain daripada bidang yang biasa bekerjasama, saya meminta industri kreatif dan penggambaran filem dijadikan satu lagi skop untuk dimasukkan dalam kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan itu.

Dalam pertemuan itu, Annuar berkata beliau juga mempelawa pengarah dan penerbit filem dari Jepun untuk datang ke Malaysia membuat penggambaran serta mengambil peluang menyertai program seperti “Film In Malaysia Incentive” (FIMI), yang secara tidak langsung mempromosikan keindahan Malaysia kepada dunia.

Menurutnya, ia mempunyai potensi serta mampu memberi impak besar kepada industri pelancongan negara selain usaha menarik pelaburan asing dan syarikat luar negara untuk melabur di Malaysia.

Annuar berkata beliau juga menggunakan peluang daripada kunjungan itu untuk mendapatkan sokongan Jepun bagi  pencalonan Malaysia dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa  (ITU) Rantau  E (Asia dan Australasia) pada Persidangan Plenipotensiari di Romania dari 26 Sept hingga 14 Oktober depan. 

Annuar berkata beliau turut berkongsi tentang perkembangan pelaksanaan 5G di Malaysia dan menjelaskan status terkini pendekatan diambil kerajaan iaitu Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi mempercepatkan pelaksanaannya serta memastikan kos yang ditanggung pengguna adalah rendah.

Beliau turut menyifatkan kunjungan Duta Besar Jepun itu sebagai kesungguhan Kerajaan Jepun untuk memastikan hubungan erat sedia ada dengan Malaysia terus diperkukuhkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here