PUTRAJAYA, 14 Jun — Desas-desus beberapa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon akan keluar parti adalah tidak berasas, kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menafikan khabar angin itu, Muhyiddin berkata beliau rapat dengan Mohamed Azmin dan kerap berbincang mengenai kedudukan masa depan parti dan bukan ‘soal masuk keluar parti’, manakala pertemuannya dengan Mohd Rashid baru-baru ini ketika sambutan Hari Raya pula “tidak bercerita apa-apa selain makan ketupat”.

“Kenapa tidak kata semua keluar (Bersatu)? Lagi besar berita,” kata Muhyiddin ketika ditanya mengenai khabar angin itu.

“Kenapalah nak bagi sasaran dan tumpuan kepada Bersatu? Apa yang dibimbang dengan Bersatu ini, parti yang kecil sahaja. Tidak betul setakat yang saya tahu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di sini hari ini.

Muhyiddin dalam pada itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengatur pertemuan dengannya bagi membincangkan kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi  Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

Beliau berkata Bersatu berpendirian kedudukan Zuraida dalam Kabinet adalah atas kapasiti sebagai ahli Bersatu dan kuota Bersatu.

“Tapi keputusan melantik siapa, itu hak Perdana Menteri dan kami akan mencalonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida,” katanya.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bagaimanapun Ismail Sabri menegaskan bahawa Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

PBM pada 9 Jun mengumumkan untuk melantik Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu sebagai presiden pengganti parti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here