KUALA PERLIS, 13 Jun — Media perlu mengekalkan sikap profesional, berintegriti, menyalurkan berita yang sahih, adil, tepat, cepat dan menyampaikan masej yang positif kepada masyarakat, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah media perlu sentiasa mengutamakan etika kewartawanan agar dapat menyampaikan masej yang positif kepada masyarakat usaha mewujudkan generasi madani.

“Jasa, kesungguhan, pengorbanan dan peranan para pengamal media akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh rakyat dan menjadi harapan negara agar media terus maju, relevan dan bersama-sama membantu membangunkan negeri dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Anugerah Media Majlis Agama Isam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Galeri Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis malam ini. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan mengurniakan Anugerah Media MAIPs kepada media di negeri ini serta Anugerah Jasamu DiKenang kepada Shahidi Shahidan iaitu bekas Pengerusi Kelab Media Perlis (KEMPs).

Baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah Media Unggul kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Majlis Anugerah malam ini dianjurkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri Perlis yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Perlis (PWP) petang tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here