KUALA LUMPUR, 21 Jun — Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengumpul bukti berhubung dakwaan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) telah memberi kad kepada individu bukan pelarian.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya juga belum mengadakan sebarang perbincangan dengan agensi berkenaan.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya sedang mengumpul lebih banyak bukti bagi memastikan tiada sebarang kesilapan dan bukannya melibatkan satu atau dua pihak semata-mata.

“Kalau banyak (bukti), jadi mereka tidak boleh kata apa apabila bukti sudah banyak. Ada sesuatu yang mungkin (mereka) nak sorokkan daripada kita dan itu yang kita lakukan.

“Apabila sampai masanya, saya akan ambil keputusan dan ambil tindakan wajar untuk pastikan yang kita jaga ini adalah semuanya rakyat dan mereka yang mahu tinggal dalam negara ini secara lebih baik mengikut undang-undang negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kontrak Projek NIISe, di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara yang merdeka dan sepatutnya semua pihak yakin dengan undang-undang negara ini dan bukannya yang lain.

Sementara itu, Hamzah berkata KDN masih bertanggungjawab terhadap isu keselamatan pekerja asing di Malaysia walaupun kuota kemasukan kumpulan berkenaan kini di bawah urusan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata KDN juga membuat tapisan terhadap warga asing yang ingin dibawa masuk untuk bekerja di dalam negara bagi memastikan golongan tersebut bukan berada dalam senarai hitam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here