GEORGETOWN, 27 Jun — Sebanyak 13 aduan sorok barang kawalan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menerusi Ops Anti-Sorok bermula Januari hingga 22 Jun lalu.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Shamsul Nizam Khalil, berkata KPDNHEP turut mengadakan pemantauan harga dan bekalan ayam, telur serta minyak masak botol di peringkat ladang, pemborong dan peruncit di sekitar Pulau Pinang, semalam. 

“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang kawalan mencukupi dan mudah diperoleh serta tiada sebarang kegiatan sorok dikesan,” katanya menerusi kenyataan di sini. 

Shamsul Nizam berkata anggota penguat kuasa KPDNHEP turut menjalankan pemeriksaan harian di setiap peringkat rantaian bekalan di bawah Op Anti-Sorok dan Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM). 

Beliau berkata ia bagi memastikan bekalan stabil selain membanteras isu berkaitan kegiatan sorok barang kawalan dan keperluan harian di pasaran. 

Tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan boleh didenda tidak melebihi RM1juta jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali; manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan seterusnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; talian 1-800-886-800 ; e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here