IPOH, 30 Jun — Kemudahan termasuklah penginapan yang lengkap dan selesa adalah amat penting dalam memastikan pengunjung merasakan kunjungan mereka ke Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO) adalah berbaloi.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelan promosi untuk Lembah Lenggong yang telah dirancang perlu dilaksanakan selari dengan kesediaan lokasi berkenaan untuk menerima pengunjung.

“Terdapat banyak pelan promosi untuk Lembah Lenggong yang telah dirancang dan sambutan Ulang Tahun ke-10 pengiktirafannya sebagai Tapak Warisan Dunia ini diadakan untuk meraikan, mempromosikan serta memberikan kesedaran untuk menghargai satu daripada khazanah warisan negara yang tidak ternilai harganya.

“Sehubungan itu, semua kerja-kerja ini akan dilakukan secara sistematik supaya semua pihak mendapat faedah yang terbaik dan limpahan ekonomi dapat dinikmati bersama,” katanya.

Teks ucapan Saarani dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang mewakili Menteri Besar pada Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia dan Perasmian Lenggong Outdoor Festival di Resort Tasik Raban hari ini.

Menurutnya adalah menjadi aspirasi kerajaan negeri untuk memajukan Lenggong sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia serta membina jati diri bangsa berteraskan seni, budaya dan warisan negara.

“Kita semua sedia maklum bahawa Lembah Lenggong dikenali dengan penemuan rangka manusia Perak atau lebih dikenali dengan nama Perak Man yang dijumpai di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990.

“Perak Man yang hidup kira-kira 10,000 tahun lalu dan dilahirkan dengan keadaan cacat adalah bukti terunggul rangka manusia terlengkap ditemui pada zaman manusia awal di Asia Tenggara.

“Penemuan ini bukan sahaja dapat merungkai tarikh kewujudan awal manusia di Malaysia tetapi turut menyumbang kepada bidang sains perubatan dunia melalui kajian-kajian yang dijalankan,” katanya.

Selain itu, lembah tersebut juga mempunyai dua peristiwa penting yang memberi kesan kepada masyarakat purba prasejarah iaitu jatuhan batu meteor dan letupan gunung berapi Toba, Sumatera. 

Kedua-dua peristiwa geologi ini memberikan impak kepada sejarah penghijrahan manusia di dunia serta pentarikhan yang telah dikesan seawal 1.83 juta tahun dahulu dan negeri Perak merupakan penempatan terawal manusia yang dikesan di Malaysia.

Saarani berkata pelbagai warisan dari Lenggong telah diketengahkan termasuk makanan warisan seperti Kebebe, Nasi Daun Lerek dan Bubur Anak Lebah malah kesemua program dan aktiviti yang telah dijalankan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung dari dalam dan luar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here