SEPANG, 11 Julai — Penjenamaan semula Batik Air selepas sedekad dikenali sebagai Malindo Air adalah satu usaha yang memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada syarikat penerbangan itu, tetapi juga industri aeroangkasa dan pengangkutan udara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Batik Air kerana berjaya menyelesaikan usaha penjenamaan semula ini dan memperkenalkan Batik Air sebagai syarikat penerbangan baharu dan berkembang, yang menawarkan perkhidmatan kompetitif di Malaysia dan rantau Asia Pasifik, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya juga difahamkan bahawa pelan strategik Batik Air yang baru dijenamakan semula adalah seiring dengan kumpulan syarikat penerbangan Lion Group dan menjadikan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sebagai pintu masuk untuk penumpang transit dari Indonesia ke tempat-tempat di Asia Pasifik dan sebaliknya.

“Batik Air akan mempromosikan pemindahan lancar penumpang ini melalui KLIA dan seterusnya membangunkan kekuatan rangkaiannya dengan syarikat penerbangan Lion Group serta perkongsiannya dengan syarikat penerbangan lain. Ini akan meningkatkan pertumbuhan dan kesalinghubungan masa depan KLIA dan pasaran penerbangan Malaysia,” katanya.

Wee berkata demikian pada majlis penjenamaan semula dan pelancaran Boeing 737-8 menandakan permulaan transformasinya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Mushafiz Mustafa Bakri, Pengasas Lion Air Group Rusdi Kirana, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Chester Voo dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Wee berkata pelancaran pesawat Boeing 737-8 oleh Batik Air adalah satu peristiwa penting dalam penerbangan Malaysia kerana ia akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan pesawat itu. 

“B737-8 boleh terbang sehingga maksimum lapan jam. Dengan pesawat baharu ini, Batik Air akan dapat meningkatkan penawaran produknya kepada pengembara dan beroperasi lebih jauh ke pasaran baharu,” katanya.

Beliau menambah bahawa kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan juga telah berkembang dengan menawarkan sambungan terus ke hampir mana-mana bahagian rantau Asia Pasifik.

“Dengan sektor penerbangan yang menghadapi cabaran berterusan, ia akan menjadi lebih penting bagi syarikat penerbangan dan KLIA untuk sama-sama merancang masa hadapan. Atas semangat itu, kerajaan tetap komited terhadap kedudukan yang kukuh dan pertumbuhan KLIA yang mampan,” katanya.

Sementara itu, Mushafiz berkata penjenamaan semula itu akan membolehkan syarikat penerbangan itu diselaraskan dengan syarikat penerbangan serantaunya, Batik Air Indonesia dan diiktiraf sebagai entiti yang lebih luas di peringkat antarabangsa dan ini seiring dengan syarikat penerbangan Lion Group.

Pelancaran pesawat Boeing 737-8 baharu adalah sebahagian daripada pertumbuhan kapasiti dan strategi pengembangan pesawatnya untuk menyediakan lebih banyak laluan baharu dan pilihan perjalanan lebih baik, katanya sambil menambah 17 unit pesawat baharu itu bakal diperoleh menjelang akhir tahun ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here