SHANGHAI, 10 Julai — Pihak berkuasa Shanghai mengesan kes COVID-19 membabitkan subvarian baharu, Omicron BA.5.2.1, kata seorang pegawai dalam taklimat, hari ini.

Penemuan itu menandakan usaha melawan penularan pandemik itu menerusi dasar ‘sifar COVID-19’ semakin menjadi kompleks.

Naib Pengarah Suruhanjaya Kesihatan bandar berkenaan, Zhao Dandan, berkata kes yang dikesan di daerah kewangan Pudong pada 8 Julai lalu itu, dikaitkan dengan kes dari luar negara.

Shanghai yang terletak di timur China, keluar daripada arahan sekatan pada awal Jun lalu, yang bertahan selama kira-kira dua bulan, namun meneruskan arahan sekatan yang ketat, menutup bangunan dan kawasan sebaik sahaja rantaian transmisi berpotensi baharu muncul.

“Bandar raya kami baru-baru ini terus melaporkan lebih banyak kes positif penularan tempatan (COVID-19) dan risiko wabak merebak dalam masyarakat kekal sangat tinggi,” kata Zhao.

Beliau berkata, penduduk di beberapa daerah utama Shanghai akan menjalani dua pusingan ujian COVID dari 12 hingga 14 Julai, dalam usaha mengawal potensi wabak baharu.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China memaklumkan, varian Omicron BA.5, yang memacu gelombang baharu jangkitan COVID-19 di luar negara, pertama kali dikesan di China pada 13 Mei lalu pada pesakit lelaki berusia 37 tahun yang tiba di Shanghai dari Uganda.

Varian BA.5 terbukti mempunyai kadar penularan yang lebih cepat dan berupaya lari daripada imun yang lebih baik, kata ahli kumpulan penasihat pakar mengenai pencegahan COVID di bandar itu, Yuan Zhengan dalam taklimat, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, vaksinasi masih berkesan untuk mencegah BA.5 daripada menyebabkan penyakit serius atau kematian.

Pada 1 Jun lalu, Shanghai menarik semula perintah sekatan dan membenarkan penduduk bebas meninggalkan rumah, kembali bekerja, menggunakan pengangkutan awam dan memandu kenderaan.

Bagaimanapun, penduduk perlu menjalani ujian COVID-19 dan menunggu keputusan negatif sebelum dibenarkan memasuki kawasan awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here