KUALA LUMPUR, 14 Julai — Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) baru-baru ini telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Petrosains untuk menanam minat yang mendalam dalam kalangan generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

Pada majlis itu, UTP diwakili Naib Canselornya Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib manakala Petrosains oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Ezarisma Azni Mohamad.

UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa MoU merupakan peristiwa penting kerana menghimpunkan dua anak syarikat penuh milik PETRONAS dalam usaha menyokong pembinaan bangsa dengan mempromosi STEM menerusi pembelajaran dan penyelidikan.

Mohamed Ibrahim berkata MoU itu adalah bukti usaha berterusan UTP dalam merealisasikan misinya bagi menyediakan peluang untuk mengejar pengetahuan dan kepakaran melalui kemajuan kejuruteraan, sains dan teknologi serta meningkatkan daya saing negara. 

“Menerusi perkongsian ini, UTP berharap untuk meneroka kemungkinan mewujudkan nilai-nilai penting dan impak terutama dalam STEM. Sebagai sebuah universiti terkemuka, kami akan terus berada di barisan hadapan untuk mempromosi STEM.

“Pendidikan STEM memainkan peranan penting sebagai pemangkin untuk mendepani cabaran serta tuntutan ekonomi negara ketika ini dan pada masa akan datang. Di UTP, kami menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan bagi mendepani cabaran sains dan teknologi serta memastikan Malaysia terus memiliki bekalan bakat dan tenaga kerja yang mahir,” katanya.

Ezarisma Azni pula berkata Petrosains dan UTP berkongsi tujuan yang sama untuk memupuk minat untuk belajar serta menyokong keinginan untuk kemajuan dalam automasi, digitalisasi maklumat dan pendemokrasian dalam kalangan generasi muda.

 “Bagi setiap generasi, teknologi sentiasa lebih baik berbanding sebelumnya dan kewujudan teknologi baharu berlaku dengan lebih pantas daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata sebagai institusi yang berteaskan penidikan, Petrosain bertanggungjawab memupuk bakat akan datang untuk menjadi kuasa dalam menerima budaya inovasi.

Katanya sebagai usaha mempromosi STEM, UTP dan Petrosains akan menganjurkan pelbagai acara outreach seperti aktiviti tanggungjawab sosial korporat, pertandingan dan program sukarelawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here