KUALA LUMPUR, 29 Julai — Rumah Prihatin @ Grand Seasons di sini merancang menjadikan penganjuran kempen derma darah sebagai program berkala dengan lebih kerap.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata kempen derma darah diilhamkan Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa selaku Pengasas Rumah Prihatin @ Grand Seasons itu merupakan inisiatif berterusan mengambil kira isu semasa negara yang  memerlukan lebih banyak tabungan darah untuk memenuhi keperluan.

“Apa yang menarik mengenai kempen derma darah ini ialah sukarelawan akan membantu penderma sehingga selesai termasuk menjaga anak kecil yang boleh bermain di ToyBank Rumah Prihatin @ Grand Seasons.

“Selain itu, persekitaran Rumah Prihatin @ Grand Seasons adalah dalam bangunan bekas hotel dan setiap penderma mendapat cenderahati daripada Yayasan Wilayah Persekutuan serta sijil yang ditandatangani sendiri oleh YB MenKOMM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Irwan Rizal berkata penganjuran kempen tersebut bergantung kepada kelapangan pihak Pusat Darah Negara (PDN).

Beliau berkata pihak PDN menyediakan tenaga pakar bagi mengumpul darah manakala Rumah Prihatin @ Grand Seasons menyediakan logistik dan makanan untuk petugas yang disediakan sukarelawan Dapur Prihatin @ Rumah Prihatin.

Menurutnya penganjuran kempen itu juga dapat mengajak lebih ramai anak muda serta masyarakat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan di Rumah Prihatin @ Grand Seasons yang dapat melatih potensi diri anak muda untuk menjadi pemimpin kepada diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat.

Pada penganjuran semalam, kempen derma darah itu dihadiri petugas barisan hadapan antaranya polis, bomba, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sukarelawan dan individu.

Pihak korporat atau individu yang ingin menyumbang atau menjalankan program pembangunan masyarakat bersama Rumah Prihatin @ Grand Seasons boleh menghubungi talian bebas tol di 1800 88 7997.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here