KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Syarikat pemula niaga teknologi DIBIZ Malaysia Sdn Bhd berkata platform rantaian bekalan minyak sawit digitalnya juga boleh diperluaskan untuk meliputi komoditi-komoditi lain.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Unnikrishnan R. Unnithan berkata platform itu memberi peluang kepada Malaysia untuk menjadi hab digital di ASEAN.

“Malaysia bercita-cita untuk menjadi hab digital ASEAN dan platform seperti ini menyediakan peluang besar kepada Malaysia untuk menjadi hab digital yang sebenar-benarnya,” katanya kepada Bernama.

“Jadi dengan melihat kepada Malaysia serta industri dan komoditi perladangan negara, kita boleh dengan mudah memperluasnya untuk merangkumi getah, kayu, lada atau koko dengan hanya mengubah 20 peratus daripada platform itu manakala mengekalkan 80 peratus seni binanya.”

Unnithan berkata terdapat banyak faedah untuk semua pemain industri, terutamanya untuk pekebun kecil sekiranya teknologi itu diperluaskan di dalam negara.

“Banyak manfaat yang akan diperoleh Malaysia sebagai sebuah negara, juga kepada pekebun kecil dan kepada semua peserta industri secara amnya.

“(Mengurus) minyak sawit yang merupakan komoditi terbesar kita adalah satu kajian kes yang hebat yang mana ia akan menjadi komoditi pertanian pertama dalam skala yang sangat besar, menyaksikan sebuah negara boleh mengguna pakai teknologi blockchain untuk menyediakan pengesahan kemampanan,” katanya.

Beliau menambah dunia menghasilkan kira-kira 78 juta tan minyak sawit setiap tahun dan 85 peratus daripadanya berasal dari Malaysia dan Indonesia, dengan hampir tiga juta pekebun kecil (40 peratus) menghasilkan minyak sawit.

Unnithan berkata kajian rintis untuk menghubungkan pekebun kecil dengan pelbagai pihak berkepentingan rantaian bekalan telah dilakukan melalui kerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil (NASH) di Seremban, Negeri Sembilan dan Colombia.

“Pekebun kecil mendapat maklum balas harian mengenai harga harian dengan mendapatkan satu maklumat penentuan harga masa nyata, yang bermaksud mereka kini telah diberi kuasa untuk mendapatkan harga yang berpatutan bagi hasil mereka.

“Mereka juga mendapat rekod masa nyata digital untuk kuantiti dan kualiti yang telah mereka hasilkan. Ini turut membantu mereka berunding untuk mendapatkan harga terbaik yang mungkin tidak tersedia melalui medium digital,” katanya sambil menambah aplikasi itu juga mendidik pekebun kecil tentang amalan pertanian lestari.

Seterusnya, Unnithan turut menyatakan DiBiz telah mengadakan perbincangan secara meluas dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pihak berkepentingan lain seperti Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) serta Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) untuk membolehkan platform rantaian bekalan digitalnya digunakan sebagai sebahagian daripada prosedur pelesenan MPOB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here