BANGKOK, 2 Ogos — Menteri-menteri Luar ASEAN berhimpun di Phnom Penh, Kemboja untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM ke-55) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) oleh Myanmar.

Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Don Pramudwinai akan menghadiri mesyuarat tahunan itu.

“Menteri-menteri luar ASEAN akan membuat penilaian pelaksanaan 5PC yang dipersetujui oleh Pemimpin ASEAN pada 24 April tahun lalu serta mengenai persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang dijadualkan pada November ini. 

“Menteri-menteri luar dijangka berbincang mengenai isu-isu penting serantau dan antarabangsa, khususnya mengenai pandemik COVID-19 dan ketegangan yang melanda dunia, serta kerjasama dengan rakan dialog,” menurut kenyataan itu.

Turut akan dibincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat dan menangani cabaran bersama di bawah tema “ASEAN A.C.T.(Berdepan Cabaran Bersama)” di bawah Pengerusi ASEAN Kemboja tahun ini, serta kepentingan perpaduan dan kepaksian ASEAN di tengah-tengah ketidaktentuan serta cabaran serantau dan global.

Menteri-menteri luar serta wakil dari 39 negara dan organisasi dijangka mengambil bahagian mesyuarat tahunan itu.

Don akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-Jepun bersama Menteri Luar Jepun Yoshimasa Hayashi dan bertindak sebagai negara penyelaras bagi Hubungan ASEAN-Jepun (2021-2024), serta sempena ulang tahun ke-50 Hubungan ASEAN-Jepun tahun depan.

Beliau juga akan menghadiri mesyuarat peringkat menteri untuk menggalakkan kerjasama dalam Model Bio-Circular-Green Economy (BCG), bagi menyokong pemulihan secara menyeluruh daripada pandemik COVID-19 serta menyokong multilateralisme serta kerjasama serantau untuk menangani cabaran serantau dan global.

Mesyuarat kali ini yang pertama antara Menteri-menteri Luar ASEAN dengan rakan sejawatan mereka dari China, Amerika Syarikat, Jepun, Rusia serta rakan kongsi lain selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here