MERSING, 18 Ogos — Empat pemancing ditemukan selamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat cuaca buruk di perairan Pulau Tengah di sini, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata kesemua mangsa dikenali sebagai Faizal Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, dan Mohamad Asyraf Ali, 33, yang berasal dari daerah itu berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang pengurus tempat peranginan yang memaklumkan empat pemancing terkandas susulan bot terbalik di pulau berkenaan, kira-kira pukul 5 petang. 

“Sejurus menerima maklumat itu, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sewajarnya.

“Bagaimanapun, (difahamkan) pemancing memakai jaket keselamatan sebelum berenang menyelamatkan diri dan dibantu pelancong di kawasan berhampiran, yang turut membantu menarik bot mereka ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Khairul Nizam berkata kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Teluk Gading bagi pemeriksaan kesihatan. 

“Kita ingin mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

“Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan dan amalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengenal pasti lokasi, sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. 

Dia turut menasihati orang awam agar menghubungi talian kecemasan Malaysia Emergency Response Services (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-219 9404 untuk bantuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here