GEORGE TOWN, 19 Ogos — Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang kini di dalam pelaksanaan memantau dan membuat verifikasi projek-projek fizikal di seluruh Pulau Pinang, bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (MTPNg), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata bagi memastikan projek terlibat dapat disiapkan mengikut jadual, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan dan Penilaian Peringkat Negeri (JPPPNg), telah mengambil tindakan susulan serta penyelarasan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Lawatan verifikasi projek yang pertama telah diadakan pada Mac lepas dan lawatan verifikasi yang kedua sedang dilaksanakan sehingga September nanti.

“Dapatan lawatan verifikasi ini, akan disalurkan juga kepada agensi-agensi dan pihak kementerian berkaitan dan semua data  perlu dikemas kini di dalam Sistem MyProjek, supaya pelaporan projek adalah selari dengan keadaan realiti di tapak,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MTPNg di sini hari ini.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata mesyuarat itu telah membincangkan satu kertas makluman, dua kertas laporan dan dua kertas taklimat berhubung pembangunan projek-projek Persekutuan di Pulau Pinang.

Katanya mesyuarat itu juga meneliti berkenaan Laporan Prestasi Pembangunan Fizikal dan Kewangan Program atau Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) melibatkan 199 projek terdiri daripada 93 projek sambungan dan 106 projek baharu melibatkan kos keseluruhan RM9.72bilion.

“Ini termasuklah status 86 projek di dalam kategori prapelaksanaan, 80 projek dalam pelaksanaan dan 33 projek telah siap. MTPNg Pulau Pinang juga menyatakan teguran terhadap beberapa projek dalam pembinaan yang dikategorikan sebagai lewat jadual dan projek sakit,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat MTPNg itu juga mendengar taklimat oleh Penang Infrastructure Corporation (PIC) berkenaan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Katanya, ahli-ahli mesyuarat turut memberi pandangan balas dalam sesi taklimat tersebut yang mendasari keresahan rakyat berkaitan projek terbabit yang masih belum terjawab seperti kos keseluruhan dan juga model kewangan atau pembiayaan bagi projek PSR.

“Mesyuarat MTPNg turut mengambil maklum jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan meneruskan projek PSR, sekiranya tidak mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar namun MTPNg sekali lagi berpendirian sementara menantikan keputusan berkenaan, keresahan rakyat harus dirawat dan diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata selaku wakil Kerajaan Persekutuan, beliau amat berpuas hati dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta program-program yang dilaksanakan oleh jabatan atau agensi Persekutuan di Pulau Pinang.

Beliau turut mengingatkan agar tindakan-tindakan segera hendaklah diambil bagi program di bawah Bajet 2022 yang melibatkan titik sentuhan kepada rakyat khususnya dalam mengurangkan beban kos sara hidup golongan sasaran, B40 dan M40.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here