KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu – itu pepatah tepat bagi menggambarkan tuah seorang penjawat awam yang muncul pemenang tempat pertama peraduan cabutan bertuah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Kemenangan itu membolehkan Mohd Aziz Mohd Rawi, 38, dari Gombak, Selangor membawa pulang hadiah berupa bar emas 50gram manakala Chew Lin Lin, 52 dari Klang yang memenangi tempat kedua membawa pulang telefon bimbit pintar Samsung S20.

Hadiah kepada kedua-dua mereka itu disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob dan disaksikan Ahli Jemaah Pengarah dan Pemangku Pengurus Besar NAFAS Saripol Baharin Karim dalam satu majlis di ibu pejabat NAFAS, Kota Damansara.

Majlis itu turut meraikan pemenang lain dalam peraduan yang diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022  yang membawa pulang hadiah berupa telefon bimbit pintar Samsung A52, basikal lipat, seterika stim, Samsung Tab dan televisyen.

Mengulas kemenangannya, Mohd Aziz berkata beliau tidak menyangka menjadi individu paling bertuah dari 20,000 penyertaan kerana hanya mengisi peraduan cabutan itu untuk suka-suka. 

“Saya sangat teruja kerana banyak juga peraduan lain yang saya sertai di MAHA ini sepanjang tiga hari menjadi petugas,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan NAFAS hari ini.

 Mohd Aziz bercadang menyimpan hadiah itu sebagai kenang-kenangan MAHA lebih-lebih lagi ia merupakan simbolik ulang tahun 50 tahun NAFAS.

Sementara itu Zamri menzahirkan penghargaan kepada pengunjung yang menyertai peraduan itu dan berharap mereka mendapat manfaat daripada penganjuran MAHA selama 11 hari bermula 4 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here