SERDANG, 25 Ogos — Pelaksanaan fasa satu projek bagi meningkatkan capaian Internet di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dijangka bermula hujung tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada Mei lepas, Mahdzir dilaporkan berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan projek peningkatan digitalisasi dan capaian Internet di Tabika Kemas seluruh negara lebih efektif.

Mahdzir berkata beliau telah bertemu Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung projek meningkatkan capaian Internet di 11,000 Tabika Kemas itu dan pihak K-KOMM telah memberi sokongan terhadap hasrat untuk melaksanakannya.

“Keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di pedalaman merupakan usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak,” katanya.

Bercakap kepada media selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia di sini hari ini, Mahdzir berkata KPLB akan mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan bulan depan bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaan projek berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here