KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Seiring dengan peredaran masa, kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi memupuk nilai patriotisme dan nasionalisme memerlukan anjakan paradigma seperti mengaplikasikan kaedah didik hibur (edutainment) di peringkat pendidikan awal kanak-kanak.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata kaedah yang bersifat ‘belajar sambil berhibur’ itu bukan sahaja memudahkan kanak-kanak memahami perkara yang diajar bahkan juga memberi pengalaman pembelajaran baharu kepada mereka.

Beliau berkata memupuk semangat nasionalisme tidak boleh hanya dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa tetapi perlu ditekankan dalam pendidikan formal di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) atau prasekolah supaya didikannya lebih berkesan.

“Kita mahu mendidik golongan kanak-kanak, namun ia perlulah dipermudahkan dan dilakukan dengan lebih interaktif serta menyeronokkan, contohnya melakonkan semula watak tokoh negara melawan penjajah.

“Ini bermakna, guru-guru di taska, tabika, tadika atau prasekolah perlu lebih inovatif dan kreatif dalam mengajar berkaitan subjek kenegaraan demi menarik minat dan perhatian kanak-kanak,” katanya kepada Bernama.

Teo berkata penerapan nilai patriotisme yang tinggi seperti berasa bangga menjadi warganegara, penting agar sebati dalam jiwa kanak-kanak seterusnya menjadi pegangan hidup kelak.

“Jika hendak dibandingkan dengan Thailand dan Indonesia, kita (Malaysia) masih jauh ketinggalan dalam menonjolkan nilai patriotisme yang sepatutnya perlu dihayati segenap lapisan masyarakat.

“Oleh itu, kita perlu meneliti dan mengkajinya secara serius mengapa keadaan ini berlaku dan kenal pasti puncanya. Usaha kita masih belum mencukupi berikutan kurangnya penghayatan semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda,” katanya. 

Turut senada, Naib Pengerusi Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) Zaharah Awang yang berpendapat pendedahan awal tentang patriotisme akan membolehkan golongan muda lebih menghargai negara sendiri berbanding mengagung-agungkan kehebatan negara luar.

“Kadang-kadang, tanpa disedari kita terlalu sibuk memuji kehebatan negara luar sedangkan orang-orang tua dahulu sering mengingatkan kita tentang kelebihan negara sendiri, bak kata pepatah Melayu ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’.

“Kita seharusnya bersyukur dengan semua kenikmatan yang diperoleh hari ini hasil penat jerih pejuang terdahulu mencapai kemerdekaan negara,” katanya.

Bersetuju dengan pendekatan didik hibur, Zaharah berkata di Pertim, kaedah itu diadaptasi dengan menganjurkan Kids Parade setiap tahun sejak lima tahun lepas sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Tidak hanya itu, Pertim yang mempunyai hampir 800 tadika berdaftar di bawahnya turut menggalakkan setiap pusat pendidikan kanak-kanak itu menganjurkan pelbagai aktiviti bertemakan kenegaraan.

“Pelbagai aktiviti dilakukan antaranya mewarna bendera Malaysia, berpakaian seperti tokoh-tokoh negara atau anggota beruniform selain menayangkan kisah-kisah perwira negara yang berjuang menuntut kemerdekaan negara.

“Kita juga memberi peluang kepada kanak-kanak ini merasa sendiri makanan ketika sebelum merdeka seperti ubi rebus dan pisang rebus. Tujuan kita melakukan semua ini agar mereka tahu dan jelas akan kehidupan pada ketika itu, berbanding hanya mendengarnya melalui penceritaan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara enam hingga 10 tahun, Efarhana Adenan, 36, menyifatkan kaedah didik hibur terbukti memberikan keseronokan kepada anak bongsunya ketika sesi pembelajaran terutamanya apabila ia membabitkan pengajaran yang berat seperti isu kenegaraan.

“Ini sesuai dengan fitrah kanak-kanak yang suka bermain. Jika kita sampaikannya secara konvensional, anak-anak mungkin sukar untuk memahami perkara yang diajar dan penghayatan semangat nasionalisme itu mungkin tidak kesampaian,” katanya yang menetap di Bera, Pahang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here