SEPANG, 29 Ogos — Litar uji kenderaan bernilai RM10 juta yang dibina di sini, MIROS Technology Test Track (MT3), bakal menjadi perintis kepada pelbagai ujian sistem keselamatan aktif dan pasif kenderaan di Malaysia serta rantau Asia Tenggara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata pembinaan MT3 sepanjang satu kilometer itu akan membuka peluang ke arah penghasilan kenderaan bertaraf lima bintang dan lebih selamat digunakan.

Litar MT3 menawarkan ujian keselamatan kenderaan antaranya ujian berkaitan Safety Assist terhadap kenderaan penumpang, ujian bagi kenderaan komersial, ujian motosikal dan infrastruktur jalan seperti road furniture crash test.

Wee berkata pembinaan MT3 selari dengan pelantikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebagai Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN yang berperanan menyumbang dan mempromosi keselamatan jalan raya dalam kalangan negara ASEAN.

“Adalah diharapkan MT3 dapat menarik pihak swasta dan agensi lain untuk bekerjasama dengan MIROS bagi memastikan kenderaan dihasilkan memenuhi spesifikasi ditetapkan.

“Melalui litar itu, agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga diharap dapat melaksanakan pengujian kepada kenderaan bagi proses kajian, penyelidikan dan penilaian,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah MT3 hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS Prof Dr Wong Shaw Voon dalam ucapannya berkata litar uji MT3 yang dibina di tapak 100 ekar itu dijangka siap hujung tahun ini.

Beliau berkata litar uji MT3 menawarkan perkhidmatan ujian perlanggaran untuk pembekal perabot jalan seperti penghadang jalan menguji tahap pematuhan produk mereka terhadap piawaian ditetapkan pihak berkuasa.

“Buat masa sekarang, ujian perlanggaran ke atas perabot jalan hanya boleh dilakukan di negara lain yang melibatkan kos tinggi.

“Kemudahan ujian perlanggaran di MT3 ini dijangka dapat menarik lebih ramai pengeluar tempatan untuk menghasilkan produk lebih kos efektif dan secara tidak langsung membantu pertumbuhan industri pengeluaran tempatan untuk produk perabot jalan,” katanya.

Pada majlis itu, Wee turut menyampaikan watikah pelantikan kepada empat ahli Lembaga Pengarah MIROS baharu iaitu Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Azman Ismail.

Turut menerima watikah adalah Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia Antony Lee Fook Weng dan Timbalan Ketua Editor Sin Chew Daily Allen Hwn Yaul Len.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here