KUALA KANGSAR, 4 Sept — Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Perak 2022-2030 yang dilancarkan hari ini bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara dan seterusnya mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pelan tindakan terhadap jaminan sekuriti makanan negara menggalakkan penglibatan rakyat negeri sepanjang rantaiannya, sekali gus meingkatkan sosioekonomi rakyat negeri itu.

Beliau berkata enam fokus utama pelaksanaan pelan tindakan itu adalah  mengoptimum sumber dan meningkatkan hasil, memperkasa penggunaan teknologi, pengukuhan tadbir urus, pemerkasaan data dan penyelidikan, pengukuhan kerjasama strategik dan pelaburan serta pemerkasaan ekonomi kitaran.

Katanya, pelan tindakan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Perbadanan  Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dengan kerjasama Institut Darul  Ridzuan (IDR) dalam usaha menggerakkan salah satu daripada enam Agenda Utama  Perak Sejahtera 2030.

“Kerajaan negeri mahu mempelopori sektor sekuriti makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import. Ini berdasarkan kelebihan dan potensi untuk menggembleng sumber sedia ada bagi memajukan sektor pertanian ke arah jaminan sekuriti makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 dan melancarkan pelan tindakan berkenaan di Dewan Millenium di  Lubok Merbau, di sini.

Saarani berkata pelbagai usaha akan diberikan fokus menerusi pelan tindakan itu, antaranya, memperbanyakkan sumber dalaman dan mempelbagaikan sumber import, meningkatkan penglibatan swasta dan masyarakat dalam sistem rangkaian makanan.

“Selain itu,  keberadaan makanan perlu dipastikan pada tahap selamat dengan harga berpatutan dan gaya pemakanan sihat serta  memastikan kesiapsiagaan negeri dalam mengukuhkan jaminan sekuriti makanan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga turut menggariskan matlamat untuk menyediakan bekalan makanan yang berkualiti, selamat dan berkhasiat melalui pengeluaran hasil makanan yang stabil, berterusan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim demi kesejahteraan  rakyat.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata penglibatan rakyat dalam sektor pertanian dan penternakan masih  berada pada tahap yang tidak memuaskan walaupun mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Menurut Saarani terdapat banyak ruang dan peluang yang boleh diterokai oleh petani, penternak dan peladang di negeri ini bagi mereka mengusahakan pelbagai jenis variasi  makanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here