KUALA LUMPUR, 6 Sept — Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan terus melakukan reformasi kepada perlindungan keselamatan sosial dalam negara, bagi menjadikan ia inklusif secara keseluruhannya, kata Menterinya Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata selain daripada pandemik COVID-19, terdapat lebih banyak lagi reformasi yang diperlukan dan perkara itu merupakan misi beliau untuk melihat implementasinya, sewaktu beliau memegang jawatan itu.

“Baru-baru ini saya telah memperakui bahawa ‘Care Economy’, yang meliputi pembantu rumah dan suri rumah tangga, adalah sama penting dalam menyumbang kepada peningkatan ekonomi, tetapi mereka tidak dilindungi terhadap kecelakaan berkaitan dengan perkhidmatan mereka.

“Oleh sebab itu, saya telah membentangkan cadangan pada Kabinet dan Parlimen, untuk memanjangkan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pembantu rumah pada Jun 2021 dan kemudiannya, suri rumah tangga pada Ogos 2022. Parlimen secara kolektifnya bersetuju dengan pindaan yang diperlukan dan menggubal undang-undang baharu untuk merapatkan jurang perlindungan keselamatan sosial di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya merasmikan Seminar Teknikal ‘The Asian Workers’ Compensation Association’ (AWCA) mengenai Mengendalikan Keselamatan Sosial dan Kesejahteraan Pasca COVID-19 di Asia, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim.

Seminar tiga hari itu dihadiri lebih 200 peserta tempatan dan luar negara termasuk dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand dan Singapura yang terdiri daripada pengamal keselamatan sosial, ahli akademik dan pihak berkepentingan.

Saravanan berkata majikan dan pekerja di seluruh dunia telah melalui bagaimana sistem keselamatan sosial negara melindungi masyarakat secara keseluruhan daripada bencana bahaya pekerjaan dan kesihatan semasa pandemik, serta bagaimana krisis besar boleh menyebabkan kemiskinan.

Beliau berkata di peringkat global, kerajaan bergantung kepada program keselamatan sosial untuk melindungi rakyat mereka daripada risiko kesihatan dan ekonomi semasa pandemik, termasuk pelaksanaan subsidi gaji atau pengambilan pekerja, meluaskan akses kepada penjagaan kesihatan awam dan saringan COVID-19, serta mengurangkan cukai dan beban sumbangan.

“Situasi ini telah menyebabkan kami sebagai pengubal dasar untuk melanjutkan perlindungan keselamatan sosial sedia ada dan meningkatkan faedah keselamatan sosial untuk menyediakan kami untuk menghadapi krisis masa depan. Oleh sebab itu, seminar ini dianjurkan pada masa yang sesuai untuk membincangkan cabaran yang semakin meningkat dan penyelesaian yang berpotensi selepas pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, seminar ini juga merupakan langkah utama untuk mencetuskan perubahan yang perlu dengan mengenal pasti keperluan, cabaran, penyelesaian, idea dan amalan yang terbukti, dalam keselamatan sosial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata dalam memastikan kesemua 1.9 bilion pekerja di Asia dilindungi daripada bahaya pekerjaan dan kejadian tidak diingini, sekretariat PERKESO telah memperluaskan skop seminar itu kepada bidang keselamatan sosial yang lebih luas.

Beliau berkata program keselamatan sosial untuk pekerja mesti progresif, merangkumi semua dan komprehensif, terutama sebagai persediaan menghadapi kesukaran pada masa hadapan.

“Atas sebab ini, saya berbesar hati kerana AWCA telah mewujudkan platform dan peluang untuk pengamal keselamatan sosial berkongsi strategi dan kajian kes khusus dalam pampasan pekerja dan keselamatan sosial,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here