DUNGUN, 12 Sept — Program pembangunan tukun tiruan yang dilaksanakan di perairan Terengganu berjaya membantu menghalang aktiviti pencerobohan pukat tunda di kawasan Zon A, iaitu lima batu nautika dari pantai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim berkata memandangkan tukun tiruan yang dilabuhkan di sekitar jarak tersebut dilengkapi ciri-ciri khas, ia boleh menyebabkan tali bot pukat tunda tersangkut apabila melalui kawasan berkenaan.

“Kerosakan itu membuatkan mereka (penceroboh) serik untuk memasuki kawasan berhampiran pantai, yang menjadi sumber rezeki nelayan-nelayan kecil.

“Saya juga terima maklum balas daripada nelayan bahawa tangkapan sotong tahun ini juga semakin banyak dan berterusan sepanjang tahun, kesan daripada kurangnya aktiviti pencerobohan bot haram,” katanya selepas merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Paka dan Bantuan Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka Datuk Satiful Bahari Mamat dan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat.

Dalam pada itu menurut Azman, program melabuhkan tukun tiruan di perairan negeri setiap tahun oleh kerajaan, terbukti berjaya meningkatkan jumlah hasil tangkapan dengan jumlah pendaratan untuk tujuh bulan pertama tahun ini ialah 17,462 tan metrik, meningkat lebih enam peratus berbanding 16,429 tan metrik bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata peningkatan itu semestinya melegakan hampir 9,000 komuniti nelayan di negeri itu, yang menjadikan sumber laut sebagai mata pencarian utama.

“Bermula 2018 hingga 2022, kita telah melabuhkan 150 tukun yang menelan belanja hampir RM4 juta di perairan negeri, bagi memperkaya populasi sumber makanan ikan di laut dan ia merupakan usaha jangka panjang yang dijalankan bersama antara kerajaan negeri dan pusat.

“(Langkah itu) juga bagi menangani isu kekurangan sumber laut dan meningkatkan aspek sosioekonomi rakyat khususnya golongan nelayan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Azman berkata kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000, bagi bantuan peralatan kepada 367 nelayan tahun ini yang meliputi peralatan seperti pukat tangsi, kawat bubu, kotak peralatan ikan dan ‘fish finder’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here