KUALA LUMPUR, 14 Sept — UOB Malaysia dan Citi Malaysia telah mendapat kelulusan kawal selia daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk pengambilalihan UOB terhadap perniagaan perbankan pengguna Citi di Malaysia.

Dalam kenyataan bersama hari ini, katanya susulan kelulusan tersebut, UOB Malaysia dan Citi Malaysia akan memohon perintah peletakhakan daripada Mahkamah Tinggi untuk memindahkan aset dan liabiliti perbankan pengguna Citi kepada UOB Malaysia. 

Urus niaga itu dijangka selesai pada suku keempat 2022. 

“Pengambilalihan itu akan meningkatkan perniagaan runcit kami dengan portfolio yang dipertingkatkan dan ekosistem perkongsian, mengukuhkan lagi capaian UOB Malaysia kepada pelanggan melalui rangkaian cawangan dan platform digital yang lebih luas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei. 

Beliau berkata perniagaan pengguna Citi di Malaysia, serta di pasaran lain di Thailand, Indonesia dan Vietnam, meningkatkan francais serantau UOB yang akan memberi manfaat kepada semua pelanggan UOB, memberikan kesalinghubungan yang lebih baik kepada mereka dan pengiktirafan jenama yang lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia Usman Ahmed berkata ia akan terus memberikan perkhidmatan yang lancar kepada pelanggannya sehingga baki proses jualan itu selesai dan akan memaklumkan tarikh untuk pemindahan pemilikan dalam masa terdekat.

“Citi kekal komited terhadap Malaysia dan kami akan melabur dalam francais pelanggan institusi peneraju pasaran kami untuk membantu pelanggan kami di Malaysia berkembang di dalam dan luar negara,” katanya.

UOB dan Citigroup telah mengumumkan cadangan urus niaga tersebut pada 14 Jan, 2022.

Selepas selesai urus niaga tersebut, semua perniagaan perbankan runcit dan kad kredit pengguna Citi Malaysia akan dipindahkan ke UOB Malaysia. 

Semua pekerja bank pengguna Citi Malaysia yang berkaitan dan pekerja sokongannya turut dijangka akan dipindahkan ke UOB Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here