ALOR SETAR, 19 Sept — Sokongan yang dahulunya memihak kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, kini didakwa sudah beralih kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjelang PRU15, tidak lama lagi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu merupakan antara faktor paling penting dalam menentukan kemenangan mana-mana parti pada PRU akan datang.

Namun katanya, BN serta UMNO tetap perlu meletakkan calon tepat yang bukan sahaja hanya disukai oleh parti, malah lebih utama diterima oleh pengundi setempat.

“(Pada) 2018 dulu, kita dah tahu bahawa ‘anginnya’ (sokongan) lebih kepada PH dan bukan ke BN. Tetapi kali ini, ‘angin’ itu tampak lebih positif ke arah kita.

“Tetapi yang paling penting adalah faktor calon. Calon itu perlu dipastikan dapat diterima bukan sahaja oleh UMNO, malah diterima oleh rakyat setempat,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran program UUM Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar) 2022 di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Ketua-Ketua UMNO Bahagian akan terpilih untuk bertanding di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU akan datang, Mahdzir tidak memberikan jawapan jelas sebaliknya mengulangi semula kenyataan tersebut.

“Macam saya katakan tadi, calon itu perlu diterima UMNO dan rakyat. Jadi fikir-fikirkanlah.

“Setakat ini senarai calon belum dimuktamadkan dan perkara itu terletak di bawah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau yang uruskan dan insya-Allah (UMNO) sedang kumpul nama-nama yang dirasakan layak,” katanya.

Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz bahawa BN negeri itu menyasarkan untuk menang satu kerusi DUN dalam setiap Parlimen di Kedah, Mahdzir berkata, beliau mengharapkan agar BN mampu memenangi lebih daripada satu kerusi DUN di setiap Parlimen.

“Tak boleh sumbang satu sahaja dan kena lebih daripada (jumlah) itu. Sebabnya kalau setiap Parlimen sumbang satu DUN sahaja, tak cukup untuk tubuh kerajaan negeri,” katanya.

Secara keseluruhannya terdapat 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN di Kedah untuk direbut oleh parti-parti politik bertanding. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here