KOTA BHARU, 25 Sept — Sebanyak 442 pusat pemindahan sementara (PPS) yang berupaya menampung 170,180 mangsa banjir di Kelantan sedia diaktifkan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat pertama persediaan menghadapi MTL iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan pada 7 Sept lepas.

“Dalam mesyuarat itu, Jabatan Meteorologi Kelantan memaklumkan MTL dijangka bermula sekitar bulan November dengan jumlah hujan dijangka sedikit melebihi purata untuk kawasan tengah dan pantai negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb), di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata setiap jajahan di Kelantan juga diminta untuk membaik pulih PPS yang dikenal pasti bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir.

Sementara itu mengulas mengenai kesediaan kerajaan negeri sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir, Ahmad berkata pihaknya pasti berdepan dengan beberapa kesulitan, antaranya ada pusat mengundi dijadikan PPS yang menempatkan mangsa banjir.

“Jika sekolah terbabit dijadikan sebagai tempat pusat mengundi dan (pada masa yang sama) PPS, maka kita terpaksa memikirkan bagaimana cara untuk pindahkan mangsa banjir dan sebagainya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here