KUALA LUMPUR, 25 Sept — Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mengajak seluruh rakyat memanfaatkan kepakaran ahli farmasi dalam bidang ubat-ubatan di negara ini untuk penjagaan kesihatan mereka.

Presiden MPS Amhari Buang berkata selari dengan moto persatuan itu Berkhidmat Untuk Kesihatan Rakyat, masyarakat juga diingatkan supaya meningkatkan penjagaan kendiri atau ‘self-care’ dalam perjalanan ke fasa endemik pada masa ini.

“Justeru, ahli farmasi sentiasa bersedia untuk meningkatkan kecelikan anggota masyarakat dalam aspek kesihatan dan ubat-ubatan. Ini dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan produktif demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Farmasi Sedunia 2022 (WPD 2022) yang disambut hari ini.

Mengenai sambutan hari farmasi sedunia tahun ini dengan tema ‘Farmasi Bersatu Bertindak untuk Dunia yang Lebih Sihat’, Amhari berkata ia bagi mengktiraf sumbangan ahli farmasi sama ada dalam sektor awam mahupun swasta untuk kesihatan sejagat termasuk ketika panularan pandemik COVID-19.

Sebagai contoh, katanya di Malaysia ahli farmasi telah memainkan peranan sangat penting dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama dalam aspek regulatori, logistik dan pemberian vaksin di pusat pemberian vaksin berskala besar.

“Ternyata kejayaan negara dalam PICK ini telah membantu negara dalam perjalanan ke fasa endemik wabak tersebut. Ini diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Menurut Amhari sumbangan ahli farmasi dalam aspek seperti promotif, pencegahan, kuratif, pemulihan dan paliatif sangat signifikan bagi membina kesihatan di semua peringkat termasuk hingga ke peringkat kesihatan global.

“Selain daripada peranan biasa ini, ahli farmasi juga telah menyediakan perkhidmatan tambah nilai yang berinovasi seperti e-farmasi, penghantaran ubat ke rumah dan tele-farmasi. Semua usaha ini adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat di Malaysia,” katanya.

WPD 2022 disambut di seluruh dunia pada 25 Sept setiap tahun dan MPS telah memulakan sambutan ini di peringkat nasional pada 2014.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here