PETALING JAY, 27 Sept — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi bagi memperkukuhkan gabungan PN.

Muhyiddin dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, pertemuan itu berlangsung selama dua jam dan banyak perkara dipersetujui bagi mengukuhkan PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan PN dalam menghadapi PRU-15” kata Muhyiddin.

Menerusi hantaran berkenaan, Muhyiddin turut menyiarkan sekeping gambar semasa pertemuan tersebut yang dipercayai diadakan di kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Hadir sama dalam perbincangan itu ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan Muhyiddin akan bertemu Abdul Hadi bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan kononnya Presiden Pas itu bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Dakwaan pertemuan Abdul Hadi dan Ahmad Zahid itu menyebabkan berlegar-legar khabar angin yang kononnya Pas dan UMNO mahu menyuburkan semula Muafakat Nasional (MN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here