PUTRAJAYA, 29 Sept — Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Siswa akan bermula di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 16 Okt ini, kata Anggota Pasukan Jihad Tangani Inflasi Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“JMKM Siswa dijangka memberi faedah kepada 589,879 siswa dan program ini berbeza daripada JMKM sedia ada dari segi bahan jualan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi ke-19 di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata item jualan bagi JMKM Siswa kini sedang dimuktamadkan namun secara umumnya ia melibatkan barangan keperluan siswa seperti alat tulis, makanan kering dan salinan cetakan.

Beliau berkata JMKM Siswa akan dilaksanakan dua hari dalam setiap minggu sehingga 31 Dis ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diberi tanggungjawab bagi pelaksanaan JMKM Siswa dengan kerjasama kedai koperasi, pusat keusahawanan di institut pengajian tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Pada 15 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Kemuncak Semarak Patriotik IPT 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur mengumumkan JMKM akan diperluaskan di IPTA dan institut pengajian tinggi swasta bermula Oktober tahun ini.

Mengenai JMKM@DE Dagang bagi tempoh 12 hingga 17 Sept lepas, Mustapa berkata dianggarkan 10 juta rakyat telah menerima manfaatnya dalam bentuk diskaun, rebat dan subsidi penghantaran.

“Sejumlah RM543.47 juta nilai barangan dagangan telah dijana melalui 11 juta transaksi urus niaga pada minggu ketiga pelaksanaan,” katanya, serta menambah kira-kira 241,000 peniaga telah menerima manfaat antaranya 49,000 peniaga baharu dan 91,000 pengusaha wanita.

JMKM@DE Dagang dilancarkan pada 3 Sept dan agensi pelaksananya ialah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama rakan platform digital seperti Fave, FoodPanda, Grab, dan Lazada.

Ia membolehkan rakyat Malaysia berbelanja pada harga yang berpatutan bagi barangan harian seperti produk keperluan asas dan runcit, makanan dan perkakas rumah yang boleh didapati dengan potongan diskaun sehingga 20 peratus atau maksimum RM100 untuk setiap transaksi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here