SHAH ALAM, 11 Okt — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menasihatkan kerajaan negeri itu untuk segera menyelesaikan isu melibatkan kepentingan rakyat, termasuk projek tebatan banjir serta pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam, sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dizahirkan Sultan Selangor ketika beliau mengadap baginda hari ini, yang juga merupakan pertemuan lazim bagi membincangkan soal pembangunan serta pengurusan ekonomi negeri.

“Baginda menasihatkan untuk kita (kerajaan negeri) menyegerakan apa yang patut dilakukan sebelum melaksanakan pembubaran DUN.

“Hasil sesi mengadap juga tidak ada permintaan (untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kami akan ikut rancangan kami untuk membubarkan pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di luar pintu pagar utama Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin tiba di istana itu bagi mengadap Sultan Selangor pada 10.05 pagi dan pertemuan itu berlangsung selama kira-kira dua jam.

Media malam tadi melaporkan Amirudin dijadualkan mengadap Sultan Sharafuddin hari ini, untuk menyembah maklum keputusan kerajaan negeri bagi tidak membubar DUN Selangor, susulan pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa semalam.

Amirudin berkata keputusan tidak membubarkan DUN itu juga telah dibincang bersama Sultan Selangor sejak tiga bulan lalu dan katanya Sultan Sharafuddin turut diberi gambaran bila kerajaan negeri akan dibubarkan.

“Susulan itu baginda meminta supaya saya berbincang dengan banyak pihak, supaya (pilihan raya negeri bagi Selangor diadakan tahun depan) akan menjadi satu pilihan raya yang efisyen kerana tidak akan bersekali dengan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata pembentangan Belanjawan Negeri 2023 serta Persidangan DUN yang dijadualkan berlangsung 28 Okt hingga 10 Nov ini, dijangka akan ditangguhkan bagi memberi laluan kepada PRU15.

“Kita akan berbincang dahulu bagaimana dan tengok tarikh pilihan raya yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau bajet dibentangkan semasa pilihan raya berlaku, pegawai kita banyak berurusan sebagai petugas-petugas pilihan raya. Jadi kecekapan bajet itu akan terganggu.

“Kemungkinan kita bakal tangguh (bajet negeri) selepas pilihan raya dan kita akan tengok dari sudut undang-undangnya, sebab tarikh pembentangan telah ditetapkan pada 28 Okt ini,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan calon Parlimen Pakatan Harapan (PH) negeri tersebut, Pengerusi PH Selangor itu berkata kebanyakan mereka terdiri daripada penyandang kerusi terdahulu manakala kerusi di Ampang dan Gombak akan dibarisi muka baharu dari PKR. 

“Malam tadi telah ada perbincangan (berhubung calon), kita akan tampilkan muka baharu dan juga calon muda untuk menambah variasi dan juga kekuatan presentation PKR dan PH,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here