BEIJING, 11 Okt — Shanghai dan bandar besar China yang lain termasuk Shenzhen, meningkatkan saringan COVID-19 susulan lonjakan jangkitan, selain beberapa pihak berkuasa tempatan segera menutup sekolah, tempat hiburan serta pelancongan. 

Jangkitan meningkat ke paras tertinggi sejak Ogos lalu, dengan ia berlaku selepas peningkatan perjalanan domestik sempena Hari Kebangsaan, awal bulan ini. 

Sebanyak 2,089 jangkitan tempatan baharu direkodkan pihak berkuasa semalam, paling tinggi sejak 20 Ogos lalu dengan Shanghai melaporkan 28 kes tempatan, hari ini. 

Bandar besar yang sering menerima kunjungan ramai pelancong mula melaporkan lebih banyak kes, minggu ini, walaupun banyak jangkitan berlaku di destinasi pelancongan, termasuk di wilayah utara Inner Mongolia. 

Bagi mengelak sekatan pergerakan, Shanghai semalam berkata, 16 daerahnya akan menjalankan saringan berskala besar, sekurang-kurangnya dua kali seminggu hingga 10 November ini, peningkatan berbanding sekali seminggu, sebelum ini. 

Pihak berkuasa berkata, pemeriksaan ke atas pelancong domestik dan di lokasi seperti hotel, perlu diperkukuh dengan tindakan itu mengenal pasti beberapa kes positif COVID-19. 

Menurut Nomura, sebanyak 36 bandar raya China berada di bawah pelbagai peringkat kawalan, membabitkan kira-kira 196.9 juta orang semalam, berbanding 179.7 juta, minggu sebelumnya. 

Penularan tempatan di Shenzhen meningkat lebih tiga kali ganda iaitu 33 kes semalam berbanding kelmarin, manakala pihak berkuasa memaklumkan pelancong domestik perlu menjalani tiga saringan dalam tempoh tiga hari. 

Sementara itu, pihak berkuasa menghentikan kelas fizikal di sekolah dan menutup banyak ruang awam termasuk Muzium Terracotta Warriors di barat laut Xian, yang melaporkan lebih 100 kes dari 1 Oktober lalu hingga semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here