PADANG TERAP, 24 Okt — Seramai 10,506 pelajar daripada kalangan golongan B40 di Kedah menerima manfaat bantuan pendidikan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sepanjang tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bantuan pendidikan itu melibatkan peruntukan lebih RM1.8 juta dalam usaha memastikan anak-anak luar bandar terutamanya golongan B40 tidak tercicir pelajaran selain dapat meringankan tanggungan ibu bapa mereka.

“Syabas dan tahniah kepada YPM atas pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam membantu golongan yang memerlukan ini,” katanya pada majlis pelancaran Program Pendidikan YPM Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi YPM Datuk Mohd Razman Yaacob.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata bantuan itu disalurkan melalui pelbagai program pendidikan YPM yang dilaksanakan sepanjang tahun antaranya Skim Bantuan Persekolahan, Dana Ehsan Pendidikan, Program Tuisyen Pintar, Program Kecemerlangan Modal Insan, Skim Anak Angkat dan Pembiayaan Pendidikan Tertiari.

“Program CSR YPM turut melibatkan UNIMARA dan Rural Capital Berhad (RCB) sebagai penyumbang di samping kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap.

“Bagi pihak YPM saya mengucapkan terima kasih kepada semua badan korporat yang telah menyumbang dana bagi pelaksanaan program pendidikan pelajar di luar bandar,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Terap menyeru supaya lebih banyak badan korporat atau invididu tampil untuk menyalurkan sumbangan kepada YPM dalam usaha merancakkan lagi pelbagai program CSR YPM yang lain.

Pada majlis pelancaran itu, sejumlah 693 pelajar dan 75 keluarga B40 di daerah Padang Terap menerima sumbangan berbentuk bantuan persekolahan wang tunai dan komputer riba manakala tiga sekolah turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 bagi setiap sekolah.

Mahdzir juga menyaksikan tiga penyerahan replika cek sumbangan bantuan persekolahan YPM bernilai RM95,000, bantuan keluarga pelajar asnaf UNIMARA sebanyak RM18,700 dan sumbangan keluarga asnaf RCB berjumlah RM17,500 pada majlis itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here