KUALA LUMPUR, 25 Okt — Jabatan Penjara Malaysia menegaskan tiada sebarang rakaman video di dalam premis penjara melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani hukuman.

Penafian itu dikeluarkan susulan tular klip video rakaman yang memaparkan temubual bersama Najib yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), sehingga mengundang pelbagai komen netizen dalam laman sosial.

Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan, tiada sebarang rakaman video yang membabitkan Najib dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara seperti mana ditularkan.

“Hasil semakan menunjukkan video terbabit sudah dirakam lebih awal oleh pihak RTM sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 iaitu sebelum Najib dipenjarakan.

“Video ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 (semalam) menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,” kata jabatan itu dalam satu kenyataannya hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, kementeriannya menerbitkan travelog Kembara Keluarga Malaysia iaitu satu dukungan kepada konsep Keluarga Malaysia yang diperkasakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tiga skop utama yang akan dipaparkan melalui travelog itu adalah alam semula jadi, kehidupan manusia dan juga pembangunan. Program berkenaan mula ditayangkan di saluran RTM menerusi TV1 pada penghujung Mei lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here