GEORGE TOWN, 25 Okt — DAP akan mengumumkan senarai calon Pililhan Raya Umum ke-15 (PRU15) parti itu bagi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada hujung minggu ini ketika Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook mengadakan jelajah di negeri-negeri utara.

“Loke akan berada di kawasan utara pada hujung minggu ini bagi mengumumkan senarai calon pilihan raya,” kata Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya kawasan yang akan ditandingi beliau pada PRU15, Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Tanjong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota berkata beliau telah menyampaikan hasratnya kepada DAP pusat.

“Jangan tanya soalan yang saya tidak boleh jawab,” katanya tanpa mendedahkan di mana beliau mahu bertanding.

Baru-baru ini media bahasa Cina melaporkan Chow mungkin tidak bertanding kerusi Parlimen pada PRU15 bagi memberi tumpuan kepada kerusi DUN.

 Pada PRU14, DAP Pulau Pinang bertanding tujuh kerusi Parlimen iaitu Tanjong menerusi Chow, Bagan – Lim Guan Eng, Bukit Mertajam – Steven Sim, Batu Kawan – P. Kasthuriraani, Bukit Bendera – Wong Hon Wai, Jelutong – RSN Rayer dan Bukit Gelugor – Ramkarpal Singh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here