JOHOR BAHRU, 9 Nov — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjangkakan tiada peningkatan ketara kemasukan pengembara di dua pintu masuk negara di Johor sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) pada 19 Nov.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bagaimanapun berkata pihaknya telah melakukan persediaan dan penambahbaikan untuk menguruskan kemasukan rakyat Malaysia yang pulang mengundi pada hari berkenaan.

“Ini pandangan saya, saya tidak jangka berlaku peningkatan yang begitu ramai seperti semasa perayaan Deepavali kerana perayaan itu melibatkan warga asing iaitu warga Singapura yang turut masuk ke sini.

“Tetapi untuk tujuan mengundi hanya melibatkan rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka yang bekerja di Singapura melakukan perjalanan harian iaitu 200,000 orang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan kira-kira 100,000 orang di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB),” katanya pada sidang media di BSI hari ini.

Turut hadir Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata antara penambahbaikan yang dilaksanakan di pintu masuk negara di Johor adalah menggantikan 20 pagar automatik yang telah berusia lebih 10 tahun untuk kegunaan pemegang pasport Malaysia di CIQ BSI yang dijangka siap sepenuhnya pada 15 Nov.

“Kerja naik taraf 11 kaunter laluan masuk kereta juga telah siap dan beroperasi sepenuhnya, lapan lagi kaunter sedang dalam proses naik taraf dan 19 kaunter akan disiapkan dalam fasa seterusnya dan dijangka siap sepenuhnya pada Feb 2023.

“Perbincangan kerja-kerja naik taraf secara berfasa ini telah bermula sejak 2021 dalam jawatankuasa induk bagi menangani kesesakan di Tambak Johor menerusi CIQ BSI dan KSAB,” katanya.

Sebanyak 45 kaunter pagar automatik motosikal (MBike), lima kaunter manual motosikal di BSI dan 24 kaunter MBike di KSAB turut beroperasi dengan baik.

Khairul Dzaimee turut menggalakkan rakyat Malaysia yang akan pulang mengundi untuk menggunakan perkhidmatan kereta api JB Sentral memandangkan urusan pemeriksaan imigresen diselesaikan di Woodland, Singapura dan penumpang boleh terus turun di sini tanpa perlu melalui proses pemeriksaan imigresen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here