KUALA LUMPUR, 10 Nov — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah mencatatkan angka jualan sebanyak 222,203 kenderaan antara Januari hingga Oktober tahun ini. 

Pada Januari lepas, Perodua mengumumkan sasaran pendaftaran sebanyak 247,800 unit bagi 2022. 

Syarikat pengeluar kereta kompak itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan berdasarkan perbandingan tahun terkini, pendaftaran kereta Perodua melonjak 51.2 peratus berbanding 146,951 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2021. 

“Terdapat jurang jualan antara Jun dan Ogos tahun lalu disebabkan sekatan pergerakan yang dikenakan oleh kerajaan untuk membendung kes COVID-19.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan momentum pendaftaran akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad. 

Bagi Oktober 2022, Perodua menjual 25,849 unit iaitu kenaikan lima peratus berbanding 24,626 unit yang dijual pada September 2022. 

Tiga model Perodua paling popular yang dijual pada Oktober ialah Bezza dengan 6,768 unit, diikuti Myvi (6,130 unit) dan Axia (4,989 unit).

Dari segi pengeluaran, Perodua mengeluarkan 22,974 unit pada Oktober menjadikan jumlah kenderaan yang dihasilkan kepada 229,811 unit antara Januari dan Oktober tahun ini. 

“Akan datang, kami merancang untuk meningkatkan lagi jumlah pengeluaran dan jualan dalam usaha melangkaui sasaran jualan kami untuk 2022 dan dengan berbuat demikian akan mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami,” kata Zainal.     

Beliau juga berkata prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan telah memberi kesan positif kepada ekosistem automotif tempatan, memandangkan secara purata 95 peratus alat ganti Perodua diperoleh dari dalam negara.

“Malah, kadar penyetempatan yang tinggi juga telah membantu melindungi Perodua daripada turun naik pasaran pertukaran matawang asing pada masa ini.

“Hasrat kami adalah untuk menambah baik lagi rantaian bekalan automotif tempatan kerana dengan adanya industri ini, ia memberi banyak manfaat kepada Perodua dan para pengguna,” kata Zainal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here