BANGKOK, 18 Nov — Asia Pasifik tidak sepatutnya menjadi medan untuk kuasa besar bersaing, kata Presiden China Xi Jinping.

“Percubaan untuk melancarkan perang dingin baharu tidak akan dibenarkan oleh rakyat…,” katanya dalam kenyataan bertulis bertajuk “Staying Committed to and Jointly Promoting Development to Bring Asia-Pacific Cooperation to New Heights” sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2022 di Bangkok pada Khamis.

Xi berkata Asia Pasifik yang pernah menjadi medan persaingan kuasa besar dan pertikaian antarabangsa telah mencetuskan penderitaan akibat konflik dan peperangan.

“Sejarah menunjukkan kita bahawa konfrontasi blok tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah dan berat sebelah hanya akan membawa kepada bencana…,” kata beliau. 

Kenyataan Xi itu dikeluarkan ketika hubungan dua kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China dingin sejak beberapa dekad lalu.

Beliau berkata Asia Pasifik menikmati kestabilan menyaksikan kerjasama di rantau ini terus maju dan keamanan, pembangunan serta kerjasama sama menang kekal menjadi asas.

Dunia telah memasuki tempoh baru ketidakstabilan dan perubahan, kedua-dua ketegangan geopolitik dan dinamik ekonomi yang berkembang telah memberi kesan negatif terhadap persekitaran pembangunan dan struktur kerjasama Asia Pasifik.

“Ekonomi global menghadapi peningkatan tekanan dan risiko kemelesetan. Menimbulkan juga krisis makanan, tenaga dan hutang. Banyak negara menghadapi kesukaran dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

“Sejak beberapa dekad lalu, kerjasama ekonomi Asia Pasifik telah menyuntik dorongan kuat ke dalam pembangunan wilayah kita dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kita harus mengekalkan amalan dulu dan kekal teguh dalam mengejar matlamat pembangunan kita,” kata beliau. 

Sementara itu, Xi berkata ekonomi APEC harus menelusuri keterbukaan dan keterangkuman.

Sepanjang dekad lalu ekonomi APEC telah mengatasi pemecahan pasaran, membina hubungan ekonomi lebih rapat sekali gus membuka ruang luas untuk pembangunan ekonomi.

“APEC, berpandukan regionalisme terbuka serta prinsip kepelbagaian dan tanpa diskriminasi menjadi acuan untuk kerjasama serantau yang inklusif dan sama menang

“Berdasarkan visi yang berpandangan jauh, kami di Asia Pasifik telah dapat merebut peluang globalisasi ekonomi dan menjadi pelopor masa dalam mengejar integrasi ekonomi serantau.

“Keterbukaan membawa kemajuan manakala menutup pintu hanya merugikan. Sebarang percubaan untuk mengganggu malah merungkai rantaian perindustrian dan bekalan yang terbentuk di Asia Pasifik selama bertahun-tahun hanya akan membawa kerjasama ekonomi Asia Pasifik ke jalan buntu,” katanya.

Asia Pasifik sudah memasuki tahap penting pemulihan pasca-COVID-19 tetapi ekonomi di rantau ini masih berdepan gangguan rantaian bekalan, ketegangan bekalan makanan dan tenaga, lonjakan tekanan inflasi dan kesukaran lain.

“Kita harus mengukuhkan kerjasama, menyokong dan membantu antara satu sama lain dan membolehkan Asia Pasifik menjadi peneraju dalam meningkatkan pemulihan ekonomi global,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here