BERA, 18 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau kejadian tidak diingini. 

Beliau yang juga penyandang Parlimen Bera berharap momentum keharmonian sepanjang tempoh berkempen yang menyaksikan tiada kejadian kekecohan besar berlaku, berkekalan sehingga tamat proses pengumuman keputusan dan pasca pilihan raya. 

Ismail Sabri juga berharap semua pihak termasuk penyokong parti untuk menerima apa juga keputusan PRU15 yang akan diumumkan esok. 

“Kita terimalah (keputusan PRU15) dengan semangat tinggi tanpa menimbulkan kekecohan… terima keputusan rakyat dengan hati terbuka. 

Kita tidak mahu macam dulu yang mana orang berarak pakai baju hitam selain mengeluarkan pelbagai tuduhan hingga mencetuskan provokasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Penduduk di Bandar 32 di sini hari ini. 

Ismail Sabri juga menasihatkan pengundi yang pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab itu supaya berhati-hati dalam perjalanan. 

Pada perkembangan berkaitan, beliau juga memberi jaminan bahawa Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan lebih banyak inisiatif dan perkara yang berkaitan dengan kesejahteraan dan kepentingan rakyat, jika diberikan mandat menjadi kerajaan persekutuan untuk tempoh lima tahun lagi. 

Beliau berkata kesungguhan BN dalam menjaga rakyat terbukti dengan pelbagai kejayaan sepanjang setahun empat bulan beliau menerajui pentadbiran negara, walaupun mengambil alih pentadbiran kerajaan semasa negara berdepan cabaran pandemik COVID-19. 

“Saya mengambil alih kerajaan ketika isu terbesar adalah nyawa rakyat kerana ketika itu, kes COVID-19 tinggi. Fokus kita pada peringkat awal adalah untuk mengawal penyakit itu sehingga (kes baru) berjaya diturunkan dan kita dapat membuka semula pelbagai sektor, yang membolehkan rakyat kembali hidup seperti biasa.

Saya  berjanji jika (BN) diberi peluang lima tahun lagi, lebih banyak perkara yang kita rancang untuk kepentingan rakyat dapat dilakasanakan kerana kita ada jangka masa lebih panjang untuk melaksanakannya,” katanya. 

Ismail Sabri juga menyeru pengundi muda untuk turut memberi sokongan kepada BN, yang sentiasa prihatin dan menjaga kepentingan golongan itu, selain mempunyai rekod prestasi dan berpengalaman mentadbir negara. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here