KOTA BHARU, 19 Nov — Peranan media tempatan dalam melaporkan berita secara komprehensif dan adil sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukti amalan demokrasi di negara ini terus diperkukuh.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata berdasarkan laporan yang diterimanya, semua agensi media kerajaan dan swasta melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berkesan selain mendapat kerjasama baik daripada semua pihak termasuk parti politik.

“Saya dapati semua agensi media di negara ini telah menjalankan tugas dengan baik…banyak program wacana, bual bicara dipaparkan di televisyen dan sebagainya.

“Ini jelas menunjukkan sifat keterbukaan oleh semua agensi media, selain turut memaparkan manifesto dan janji-janji oleh parti politik atau calon yang bertanding pada PRU15,” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi Parlimen Ketereh di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Padang Mokan, di sini hari ini.

Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada pengamal media kerana telah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan memberi sumbangan yang besar kepada negara untuk memastikan kelancaran sepanjang proses PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here