KUALA LUMPUR, 22 Nov — Tiada mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah memberi sokongan terhadap pencalonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dewan Tertinggi juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata sehubungan itu, BN meminta semua pihak berkaitan agar mengambil masa bertenang (cooling-off period) ketika mendepani situasi politik negara ketika ini.

“Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan BN adalah kekal seperti sekarang,” katanya.

Terdahulu, Zambry menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku Pengerusi BN, di Menara Dato’ Onn, di sini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (perdana menteri sementara), Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Pengerusi BN Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Tan Sri SA Vigneswaran.

Usai mesyurat itu, Ismail Sabri dalam catatan ringkas di laman Facebook memaklumkan Dewan Tertinggi BN hari ini membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, diikuti PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here