KUALA LUMPUR, 24 Nov — Barisan Nasional (BN) menasihati parti komponennya untuk terus memelihara solidariti dan semangat muafakat yang telah lama terbina dalam gabungan itu.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ini bagi memastikan kesejahteraan dan kerukunan serta toleransi, dalam kalangan parti-parti anggota dan parti-parti bergabung dalam BN.

Beliau berkata ibu pejabat BN mengambil maklum tentang beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh parti komponennya yang tular di media massa.

“BN berpegang kepada prinsip saling menghormati dalam menangani sebarang isu yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Zambry berkata adab dalam menyatakan dan mengeluarkan sebarang kenyataan, hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya agar tidak menimbulkan salah faham, termasuklah hal-hal yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Sebarang cadangan dan usul yang telah dikemukakan di peringkat mesyuarat akan dimuktamadkan sepenuhnya oleh mesyuarat Dewan Tertinggi BN menurut peraturan dan perlembagaan BN,” katanya.

Pada PRU15, Sabtu lepas, BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, iaitu pencapaian terburuk dalam sejarah, manakala PH menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here