KUALA LUMPUR, 25 Nov — PAS akan berbincang dengan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat berhubung tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk PN menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan perbincangan itu juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang memberikan undi memberangsangkan kepada PAS dan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov lepas.

Pada sidang media sulung Anwar malam tadi, beliau menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat ini, akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri turut mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti, namun dengan syarat mereka mesti bersetuju dengan asas pembentukan kerajaan perpaduan ini iaitu tata kelola yang baik, tiada tolak ansur terhadap rasuah dan Malaysia untuk semua rakyatnya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata PAS turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, semalam.

“PAS yakin beliau (Anwar) akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ihsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri dan rakyat jelata,” katanya.

PAS juga mengucapkan setinggi tahniah ke hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Seri Paduka berdasarkan kuasa diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya berkaitan pelantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, katanya.

“PAS mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kemelut kepimpinan negara pasca-PRU15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai. PAS menerima dengan reda dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmahnya tersendiri,” kata Takiyuddin.

Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here