SINGAPURA, 28 Nov — Singapura dan ASEAN akan mendapat manfaat ekonomi daripada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) dengan Amerika Syarikat (AS) dan India, kata Menteri Hal Ehwal Luar republik itu, Dr Vivian Balakrishnan.

“Melalui CSP ini, Singapura boleh memperdalamkan lagi kerjasama dengan India dalam bidang penting seperti ketersambungan serantau, keselamatan siber, dan ekonomi digital untuk memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat kita.

“Manakala Dengan AS pula, kami berharap dapat bekerjasama untuk menyokong peralihan tenaga bersih ASEAN, mengukuhkan keselamatan tenaga dan daya tahan grid di rantau ini, serta mewujudkan penyelesaian tenaga rendah karbon dan infrastruktur tenaga hijau,” kata Balakrishnan dalam jawapan bertulisnya pada soalan di Parlimen berkaitan CSP dengan kedua-dua negara itu.

Beliau ditanya tentang kesan ekonomi yang dijangkakan untuk Singapura dan bidang khusus kerjasama yang lebih mendalam antara Singapura dan kedua-dua negara tersebut berikutan penambahbaikan hubungan dengan ASEAN dan ke peringkat CSP.

Menteri itu menyatakan bahawa penubuhan CSP ASEAN-India dan ASEAN-AS telah usahakan oleh kedua-dua rakan dialog, dan mereka akan membina hubungan yang lama terjalin dan pelbagai aspek dengan ASEAN untuk kerjasama yang lebih bermakna, substantif dan saling menguntungkan.

“Singapura mengalu-alukan kedua-dua CSP itu, terutamanya sumbangan India dan AS ke arah rantau yang lebih terbuka, inklusif, aman, stabil dan makmur,” katanya.

Dengan India, Balakrishnan berkata ASEAN akan memulakan kajian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India untuk menjadikannya lebih mesra pengguna, mudah dan memudahkan perdagangan bagi melancarkan aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh.

Manakala dengan AS, ASEAN akan mendapat manfaat daripada inisiatif baharu seperti Inisiatif Infrastruktur Kenderaan Elektrik ASEAN-AS dan Platform Infrastruktur dan Ketersambungan ASEAN-AS, katanya.

“ASEAN dan AS akan terus bekerjasama dalam Rangkaian Bandar Pintar ASEAN dan mengukuhkan infrastruktur kesihatan awam ASEAN melalui Inisiatif Hadapan Kesihatan ASEAN-AS,” kata menteri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here